Thursday, 28 April 2005

Jodoh dan Ajal di tangan Allah.............

Bakal raja sehari maut tertusuk pisau mesin rumput
Oleh: DALIZA ARIFFIN

ALOR STAR 27 April - Seorang lelaki yang bekerja keras siang dan malam untuk mengumpul wang bagi majlis perkahwinannya Disember ini maut selepas pisau mesin pemotong rumputnya patah lalu menusuk paha kirinya di Kampung Batu 19, Kubur Panjang, Pendang di sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi ketika mangsa, Sobri Talib, 32, membersihkan belukar di sebuah dusun di kampung itu dengan menggunakan mesin pemotong rumput yang dipinjam daripada rakannya.
Mangsa yang baru bertunang dengan seorang gadis pilihan keluarganya sebulan lalu, tidak sedarkan diri akibat pendarahan serius semasa dibawa ke Klinik Kesihatan Kubur Panjang.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik itu.
Sobri dan bakal tunangnya yang berasal dari Naka, Padang Terap dijadual menghadiri kursus perkahwinan pada Sabtu dan Ahad ini.
Ayah mangsa, Talib Taib, 54, memberitahu, anak kedua daripada tujuh orang anaknya itu seorang yang rajin bekerja.
``Pada sebelah malam dia bekerja di sebuah pusat pemeliharaan ayam di Pokok Tai, Jenun, Pendang dan akan pulang ke rumah pukul 8 pagi keesokan harinya, selepas berehat dia akan mengambil upah memotong rumput di sekitar kampung ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Rumah Mayat, Hospital Alor Star di sini.
Beliau berkata, mangsa yang sudah bekerja di pusat pemprosesan ayam itu sejak 10 tahun lalu, mengambil upah memotong rumput untuk menambah pendapatan dan wang simpanannya sebagai persediaan mendirikan perkahwinan menjelang Disember ini.
Talib berkata, sebelum kejadian anaknya ada berjenaka mengenai jodohnya itu.
``Dia pernah kata, kalau ada jodoh, kahwinlah, tetapi saya tidak menyangka yang dia tidak sempat melangsungkan perkahwinan yang telah kami tetapkan pada Hari Raya keenam Disember ini,'' katanya lagi.
Jenazah Sobri dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Perupuk, Kubur Panjang malam ini.

sedey plak aku baca berita ni.....

No comments:

Post a Comment