Perkahwinan kelangsungan cinta Norjuma-Nazim
Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
CERITERA puteri bernama Cinderella yang menambat cinta seorang putera raja akan terus dikenang sebagai mitos paling klasik dalam himpunan cerita cinta agung manusia.
Ia adalah tentang mimpi seorang wanita cantik kalangan rakyat biasa, berkahwin dan membina keluarga bahagia sehingga ke hujung usia dengan anak bangsawan.
Antara Cinderella dan wanita cantik bernama Norjuma Habib Mohamed barangkali banyak bezanya.
Norjuma, wanita berusia 24 tahun yang mesra dengan panggilan Juma, tidak pernah bermimpi suatu hari dia menjejaki Cinderella yang berkahwin dengan golongan aristokrat.
``Saya tidak pernah bermimpi berkahwin dengan keluarga atasan, tetapi jodoh membawa saya ke dunia mereka,'' kata Juma kepada Mingguan Malaysia Jumaat lalu beberapa jam sebelum sah menjadi isteri kepada Datuk Mohamed Nazim Tun Abdul Razak.
Pasangan berbeza usia kira-kira 19 tahun ini bernikah semalam di Masjid Jamek, Bayan Lepas, Pulau Pinang setelah hampir satu tahun mengikat cinta.
Kisah cinta unik dan menarik yang dilalui oleh bekas pengacara Nona, TV3 dan anak kepada Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Razak ini secara tiba-tiba membawa khalayak kembali mengenang kisah klasik yang tidak pernah bernoktah itu.
Juma anak kepada pasangan Zainab Harun dan Habib Mohamed Syed Ahmad ini hadir sebagai Cinderella moden di tengah-tengah masyarakat dan sekali gus menambah bilangan rakyat biasa yang berkahwin dengan golongan aristokrat Melayu.
Menjalani hidup yang bahagia bagi dirinya adalah dengan menjadi diri sendiri, menggapai cita-cita awal sebagai pengurus bank dan berkahwin dengan orang biasa.
Tetapi tiada sesiapa mampu menebak takdir Ilahi. Bahawa jodoh pertemuan di bawah kuasa Yang Maha Esa dan kerana itu wanita bermata galak ini disunting sebagai permaisuri kepada adik bongsu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib.
``Saya percaya jodoh tidak perlu dicari. Ia datang dengan sendiri. Kadang-kadang kita kata jodoh kita dengan lelaki `A' tetapi kuasa Tuhan kita berjodoh dengan lelaki `B'. (yang ni aku sokong - >ina)
``Berkawan berpuluh tahun pun tidak akan ke mana juga kalau tidak ada jodoh yang mengikatnya,'' kata Juma mengenai takdirnya.(ni aku sokong - >ina)
Mengakui mereka adalah pasangan yang baru melangkah ke alam cinta, tetapi Juma yakin bahawa Nazim, ahli perniagaan dan arkitek itu adalah lelaki yang dicari selama ini.
Usia perkenalan mereka dua tahun, percintaan setahun dan kemudiannya keluarga lelaki menghantar cincin tanda pada Disember lalu.
``Wajar saja rasa cinta itu hadir di antara kami kerana dia adalah lelaki yang melengkapi ciri-ciri idaman saya,'' jelas wanita ini. ``Impikan lelaki bujang yang bukan milik wanita lain, alhamdulillah doa Juma dimakbulkan jua,'' tegas Juma.
Soal status dan darjat bukan ukuran cinta mereka, sebaliknya Juma percaya akan wujud persefahaman dalam melayari alam rumah tangga.
Soal utama yang membawa kepada persetujuannya untuk menjadi suri di hati lelaki berkenaan ialah apabila mengenangkan kasih sayang yang tidak bertepi kepada wanita yang melahirkannya - Tun Rahah Mohd. Noah.
``Saya melihat kasih sayang Nazim yang sangat sarat kepada ibunya. Sayang Nazim kepada ibu melebihi segala yang ada di dunia ini.
``Dan saya percaya kalau lelaki itu bertanggungjawab, berkasih sayang dengan ibu yang melahirkannya, dia juga tidak akan mempersia-siakan isteri sendiri,'' kata Juma dengan jujur seraya mengakui dia sangat berharap agar sifat yang ada dalam diri Nazim akan diwarisi oleh anak-anaknya nanti.
Sementelah Juma amat disenangi dalam keluarga Nazim, terutamanya Tun Rahah sendiri, rasa-rasanya bukan sesuatu yang sukar untuk wanita kacukan Arab, Siam, Melayu dan India ini untuk menyesuaikan diri dengan keluarga baru.
Juma secara zahirnya mungkin belum mencapai tahap dewasa jika usia dan perwatakan zahir dijadikan ukuran. Tetapi usia hanyalah ukuran pandangan yang ada kalanya tersalah mentafsir.
Jika mengenalinya dengan lebih dekat bekas pelajar Sekolah Menengah St. George, Pulau Pinang ini memiliki ciri-ciri yang diinginkan dalam sebuah keluarga berdarjat.
Pemikiran yang bijak, wanita yang boleh dibawa ke tengah dan ke tepi, berilmu dan paling penting pengetahuan agamanya juga baik. Mungkin dengan kelebihan itu juga, Juma memenuhi cita rasa insan yang digelar `lelaki bujang dan ternama' berusia 43 tahun itu.
Jaguh debat sewaktu zaman pelajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) banyak yang melihat Juma akan menjadi pelapis hebat dalam dunia pengacaraan awal kemunculannya sebagai pengacara di TV3.
Sinar kepintaran dan aura istimewanya terpancar jernih di kaca televisyen sewaktu mengacara rancangan Nona dan Juma adalah antara personaliti bertudung yang diterima dengan mudah dalam dunia penyiaran tempatan.
Biarpun hadirnya menyeri laman penyiaran cuma seketika, Juma akan tetap dikenang antara bunga harum dan menguntum mekar di Sri Pentas.
Memperkatakan tentang perkara yang sama kata Juma, ``Hidup adalah pilihan dan saya akur bahawa cita-cita besar dunia pengacaraan perlu dikorbankan buat sementara waktu.''
Katanya, sebagai isteri, tugas utama adalah di sisi suami dan dia tega meninggalkan cita-cita sebagai pengacara.
Selepas melalui episod manis sebagai raja sehari, pasangan ini memilih untuk menetap di kediaman keluarga Nazim, di Jalan Eaton, Kuala Lumpur buat seketika.
``Berbulan madu di Itali pada 1 Mei nanti,'' katanya dengan getar yang mengungkapkan rasa gembira di dada.
------------------------------------------------------------------------------------------
No comments:
Post a Comment