Tuesday, 19 April 2005
kursus kahwin lepas kawin ????
Tak payah kursus - PM -- Cadangan kursus pascaperkahwinan 10 tahun ditolak
HULU TERENGGANU 18 April - ``Tak payahlah'' kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak bersetuju dengan cadangan mewajibkan pasangan yang telah berkahwin sekurang-kurangnya 10 tahun mengikuti kursus pascaperkahwinan.
Sambil menegaskan cadangan yang dikemukakan oleh Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim itu sebagai tidak perlu, Perdana Menteri berkata, keutamaan yang perlu diberi ialah kursus sebelum perkahwinan.
``Kursus sebelum perkahwinan wajar dimantapkan lagi kerana ia berperanan sebagai panduan kepada bakal pasangan pengantin untuk terus hidup bahagia sehingga akhir hayat.
``Sepatutnya yang diberikan penekanan ialah kursus di peringkat awal. Kursus ini hendaklah disampaikan secukupnya (kepada bakal pengantin).
``Ini kerana segala nasihat (yang terkandung di dalam kursus awal) itu bukanlah untuk bersanding sahaja tetapi nasihat sedemikian adalah untuk selama-lamanya,'' katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Rasmi Program Semai Bakti Peringkat Nasional di Felda Jerangau Barat, di sini hari ini.
Abdullah berkata demikian ketika mengulas penolakan pelbagai pihak termasuk tokoh agama dan akademik terhadap cadangan untuk mewajibkan pasangan suami isteri lebih 10 tahun mengikuti kursus pascaperkahwinan.
Cadangan itu ditimbulkan oleh Mashitah sebagai langkah mengurangkan kadar perceraian membabitkan umat Islam di negara ini yang semakin meningkat setiap tahun.
Menurut Mashitah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang merangka cadangan tersebut.
Ketika ini, kata beliau, hanya pasangan yang mahu berkahwin sahaja diwajibkan mengikuti kursus sedemikian.
Dalam pada itu, Abdullah percaya pasangan suami isteri di negara ini terutama golongan suami sentiasa belajar cara terbaik untuk menguruskan keluarga serta membahagiakan isteri mereka.
``Kita telah berikan kursus pada mula-mula hendak kahwin dulu. Ingatkanlah balik setiap nasihat yang diberikan pada masa itu dan peringatkan balik yang lupa itu,'' katanya.
Sementara itu, di BUTTERWORTH, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahaya berkata, hampir 50 peratus perceraian yang berlaku di kalangan pasangan Islam di negeri ini berpunca daripada masalah kewangan.
Ia tidak ada kena mengena dengan kurangnya ilmu pengetahuan dalam hal-hal kekeluargaan, katanya.
Masalah kewangan, katanya lagi, kerap menyebabkan pasangan berubah sikap seperti bertengkar dan berselisih faham yang akhirnya membawa kepada perceraian tanpa mengira usia perkahwinan.
``Memang tidak boleh sama sekali kita sandarkan hanya kepada kursus perkahwinan untuk menjadi penentu naik atau turun bilangan perceraian kerana berdasarkan fakta banyak kes perceraian adalah berpunca daripada masalah kewangan,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Shabudin berkata, masalah kewangan di kalangan suami isteri biasanya menyebabkan timbul masalah lain seperti pasangan berasa tertekan, perasaan rendah diri, rasa bersalah dan harga diri diperkecilkan.
``Lebih menyulitkan apabila masalah itu ditambah pula dengan campur tangan orang ketiga atau anggota keluarga yang tidak memahami masalah sebenar pasangan itu,'' katanya.
Beliau berkata, antara penyumbang kepada masalah kewangan ialah faktor kerjaya dan sikap sendiri yang gagal menguruskan kewangan keluarga dengan bijak.
Justeru Shabudin berkata, kursus praperkahwinan yang dihadiri oleh bakal pasangan Islam yang ingin berkahwin hanya bersifat tambahan kepada bekalan persediaan bakal suami isteri.
``Ia mengandungi nasihat dan bimbingan untuk menempuh alam rumah tangga yang mencabar supaya lebih bersedia, cekal dan kuat semangat dan seterusnya diharap perkahwinan terus kekal,'' katanya.
muahhahah.....ape..la...kalo dah nak bercerai tu, tetap bercerai gak...apa2 ilmu agama dan tanggungjawab kene tahu la...kalo dah takde tanggungjawab, pahtu memasing ego taknak tolak ansur, xnak bekerjasama, memasing panas baran, mmg ar susah nak idup bersama..lain kali, kalo rasa xsedia nak kawin, xcukup ilmu, jgnla gatal2 nak kawennn........
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment